Oleh Shahrun Nizam Shahir

Kuala Lumpur: Puan Maizura Mohd Ederis diumumkan penerima Anugerah Penulis Inspirasi KOPENA 2024. Menurut kenyataan Koperasi Penulis Nasional Malaysia Berhad (KOPENA), Puan Maizira dipilih berdasarkan kecemerlangan dan kegemilangan  beliau dalam bidang penulisan skrin dan adaptasi novel.

Anugerah dalam bentuk plak dan sijil penghargaan telah disampaikan oleh Pengerusi KOPENA, Cikgu Mokhtar Omar dalam suatu majlis ringkas semasa berlangsung Mesyuarat Agung KOPENA Kali Pertama di Hotel The Pearl, Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur pada Sabtu, 29 Jun 2024 lalu.

KOPENA yang menggunakan cogan kata Terus Menulis, Terus Menginspirasi menyatakan bahawa bertitik tolak dari penyataan bahawa menulis adalah suatu seni menyulam kata-kata, mereka menyaring dan kemudian memilih Puan Maizura daripada sekian ramai penulis untuk menerima anugerah tersebut.

Antara yang ciri yang menjadikan Puan Maizura terpilih ialah sifat beliau yang terus berusaha dengan seberapa daya mengangkat karya sastera serius dan berat ke skrin.

“Karya beliau seperti Nur Kasih, Bisik Pada Langit, Ombak Rindu dan Ayahanda begitu menyentuh dan melekat di sanubari rakyat Malaysia. Yang terbaharu ialah karya berjudul Memoir Seorang Guru, sebuah filem air mata yang lancarkan sejak 30 Mei 2024 lalu. Sebanyak lebih 15 buah karya adaptasi novel ke drama rangkaian televisyen dan filem telah terhasil,” kata kenyataan pihak KOPENA menerusi montaj pengumuman pemenang anugerah tersebut.

Karya-karya lainnya seperti Isteri Misteri, Kemboja Di Hati, Anak Rimau dan Membara Di Syurga. Buku yang pernah dihasilkannya berjudul Indahnya Budi, Kurindu Kau Yang Hilang dan  Cahaya Di Hujung Nyawa terbitan Creative Enterprise Sendirian Berhad pada tahun-tahun 1990-an.

Difahamkan, Puan Maizura pernah beberapa kali dicalonkan untuk pelbagai anugerah termasuk memenangi anugerah dalam bidangnya. Kini beliau aktif mencurahkan ilmu dan melatih ramai pelapis baharu.

Selain itu, Puan Maizura merupakan anggota Jawatankuasa Audit Dalaman KOPENA dan jurulatih utama penulisan skrip KOPENA.

Puan Maizura Mohd Ederis
Pengerusi KOPENA, Cikgu Moktar Omar menyerahkan sijil Anugerah Penulis Inspirasi KOPENA 2024 kepada Puan Maizura Mohd Ederis.
Plak Anugerah Penulis Inspirasi KOPENA 2024