Mesyuarat Agung Tahunan Pertama KOPENA Berhad
Oleh Shahrun Nizam Shahir
Kuala Lumpur: Berita Koperasi Penulis Nasional (KOPENA) Berhad berjaya mengadakan mesyuarat agung tahunan kali pertama menarik perhatian untuk diulas. Lebih menarik lagi, pihak KOPENA telah berjaya menyewa sebuah premis untuk dijadikan pejabat operasi dan pusat aktiviti latihan mereka di Cheras Business Centre, Cheras sejak Jun lalu. Sebelumnya, KOPENA beroperasi sementara di Rumah KOPENA, Pandan Indah, Ampang selama beberapa tahun.
Mesyuarat Agung KOPENA Berhad Kali Pertama telah diadakan di The Pearl Hotel, Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur pada Sabtu, 29 Jun 2024 lalu dengan dihadiri lebih daripada 30 orang ahli termasuk ahli lembaga pengarah dan audit dalaman.
Difahamkan mesyuarat agung tersebut mendapat pujian dan sokongan daripada Pegawai Hal-Ehwal Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Puan Noriza Ariffin. Beliau turut hadir sebagai pemerhati dalam mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira tiga jam tersebut.
Menurut penganjur, Puan Noriza dan pasukannya sering memberikan nasihat dan bimbingan buat koperasi yang baharu setahun jagung tersebut. Bagi pihak KOPENA Berhad, mereka sangat menghargai usaha dan sokongan pihak SKM selama ini.
KOPENA menggunakan cogan kata Terus Menulis, Terus Menginspirasi yang bertitik tolak dari penyataan bahawa menulis adalah suatu seni menyulam kata-kata. Ia memilih warna biru hijau malam dan hitam dalam logo korporatnya yang diumumkan kepada khalayak.
KOPENA bermula dengan Mesyuarat Bilangan 1 Jawatankuasa Penaja pada 18 Jun 2022 menerusi aplikasi Zoom Meeting. Mesyuarat secara sumbang saran kali pertama itu disertai empat orang ahli. Tujuannya untuk membincangkan aktiviti, gerak kerja koperasi dan penetapan jawatankuasa. Idea penubunhan koperasi terus subur berkembang apabila berlangsung Mesyuarat Bilangan 2 pada 13 Ogos 2022 di sebuah premis kediaman di Pandan Indah dengan kehadiran lebih ramai ialtu seramai 18 orang peserta.
Mesyuarat ini telah mencetuskan idea pembentukan jawankuasa penaja yang akhirnya menerusi perbincangan dalam kumpulan What’s App telah mencadangkan nama Koperasi Penulis Nasional atau singkatnya KOPENA. Susulan perbincangan, KOPENA telah lulus prapendaftaran dengan pada 14 Ogos 2022. Ia telah didaftarkan mengikut lunas perundangan di bawah SKM.
Kesungguhan pihak KOPENA untuk meningkatkan komitmennya dalam dunia latihan penulisan, buku dan penerbitan dapat dilihat apabila berusaha memohon keahlian sejak tahun lalu dan kemudiannya berjaya menjadi ahli Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA). Mereka hadir menyertai mesyuarat agung MABOPA pada hujung April lalu.
Selain itu, KOPENA Berhad turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) mulai tahun 2025 hadapan. Ini antara kemajuan yang dicapai oleh koperasi baharu tersebut.
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama KOPENA Berhad, tidak kurang daripada sepuluh usul telah diterima, dibahaskan dan diluluskan tanpa bangkangan kecuali pengesahan penangguhan bacaan laporan kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 ke tahun hadapan kerana akaun belum dapat disiapkan.
Antara usulnya ialah pengesahan Mesyuarat Agung Permulaan di Jom Training Centre, Puchong Perdana pada 1 Oktober 2022 lalu, pengesahan laporan Jawatankuasa Audit Dalaman, pengesahan pembentangan belanjawan tahun 2024, pengesahan peletakan jawatan ahli lembaga koperasi dan audit dalaman bagi tahun 2023/2024, pelantikan ahli lembaga koperasi dan audit dalaman bagi tahun 2024/2025 dan pelantikan audit luar bagi tahun 2024.
Mesyuarat agung turut bersetuju untuk membuka akaun simpanan tetap untuk faedah ahli di cawangan Maybank. Pelaksanaan mesyuarat agung telah dipengerusikan oleh salah seorang ahli lembaga koperasi, Encik Mohammad Hanif Hashim yang juga seorang jurulatih motivasi.
Pengerusi KOPENA Berhad, Cikgu Mokhtar Omar dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Encik Khairul Naim Abd. Wahab telah dilantik semula untuk terus mengekalkan jawatan masing-masing sebagai menghargai usaha gigih mereka bersama-sama ahli lembaga koperasi dan ahli juruaudit dalaman mengasaskan serta memajukan KOPENA sejak tahun 2022 lalu.
Pihak KOPENA Berhad turut mengumumkan pelantikan dua orang setiausaha dan dua orang bendahari khusus untuk membantu tugas pengerusi dan CEO mengemudi koperasi dengan lebih berkesan. Mereka ialah Puan Mahanim Mahmud dan Puan Mazniza Mohd Nor masing-masing Setiusaha 1 dan 2 manakala Encik Md. Jamil Hashim dan Cik Nur Eiklah Tulha masing-masing Bendahari 1 dan 2.
Menurut Encik Khairul Naim, koperasi memerlukan dua orang setiausaha dan dua orang bendahari dengan tugas khusus memandangkan keperluan untuk memikul tugas yang lebih banyak dan besar. Sebelum ini, setiausaha penaja disandang oleh Cikgu Muhammad Ikhwan al-Syahid Abdullah Tahir dan Puan Nor Rafishah Mohd Hassan sebagai bendahari penaja.
Menyentuh tentang kejayaan melaksanakan mesyuarat agung kali pertama, Encik Khairul Naim menyatakan rasa gembira dan berpuas hati dengan pencapaian tersebut. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua ahli KOPENA Berhad yang telah sama-sama menjayakan mesyuarat tahunan tersebut.
“Terima kasih kepada ahli lembaga koperasi yang bersungguh-sungguh membantu melancarkan perjalanan mesyuarat agung. Terima kasih juga kepada wakil SKM yang hadir sebagai penyuntik semangat. Bertemu lagi pada tahun hadapan dengan lebih gah dan bergaya,” ucap Encik Khairul Naim.
Menurut laporan, KOPENA Berhad telah memiliki seramai 150 orang ahli, jumlah yuran masuk RM22,500, jumlah yuran akademi RM8,020 dan jumlah simpan modal syer premium (MSP) RM42,470 setakat 31 Mei 2024 lalu