Sejarah Penubuhan KOPENA

IDEA besar bermula daripada idea kecil. Sejarah besar demikian juga, permulaannya tentulah secara kecil-kecilan. Begitulah Koperasi Penulis Nasional (KOPENA) bertapak, memulakan gerak kerja menawan hati dan minda sejumlah insan penulis yang mudah memahami gagasan muafakat sejati menerusi koperasi.
Pada 18 Jun 2022 telah diadakan Mesyuarat BIL.1 Jawatankuasa Penaja menerusi aplikasi Zoom Meeting. Tujuannya adalah untuk berbincang tentang aktiviti, gerak kerja koperasi dan penetapan jawatankuasa. Dalam sesi sumbang saran kali pertama itu, hanya empat (4) orang yang hadir, iaitu Tuan Mokhtar Omar, Encik Ikhwan, Encik Khairul Naim dan Cik Thanusya.
Idea penubuhan koperasi terus subur berkembang menjadi gagasan yang makin difahami arah tujuannya. Selanjutnya, pada 13 Ogos 2022, berlangsung pula Mesyuarat BIL. 2 yang dijayakan secara santai tetapi bermakna di sebuah premis kediaman di Pandan Indah, Kuala Lumpur. Bilangan peserta terus bertambah menjadi 11 orang. Mesyuarat kali kedua ini mencetuskan idea pembentukan Jawatankuasa Penaja seramai 18 orang. Susulan daripada perbincangan maya menerusi aplikasi WhatsApp, lahirlah nama Koperasi Penulis Nasional atau singkatannya KOPENA.
Idea kian kukuh apabila hal-hal yang berkaitan struktur asas organisasi mula difikirkan secara serius, termasuklah soal pelantikan dalam organisasi, aktiviti dan rancangan koperasi pada masa depan. Sejarah kian mantap apabila KOPENA berjaya lulus Prapendaftaran pada 14 Ogos 2022 dengan nama rasmi Koperasi Penulis Nasional Berhad, didaftarkan mengikut lunas perundangan bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Yang kukuh terus teguh dan ampuh. Pada 14 September 2022, logo KOPENA ‘Biru Hijau Malam’ direalisasikan untuk menjadi lambang penyatuan hati, minda dan kudrat ahli-ahli KOPENA. Sejarah terbentuknya KOPENA terasa begitu pantas. Tunjang keberhasilan setiap gerak kerja ialah kata kunci komunikasi dan muafakat menerusi aplikasi WhatsApp saban waktu, saban hari dan saban cuaca, melibatkan koperator muda dan aktivis seni penulisan yang berjiwa kembara.
Pada 1 Oktober 2022, sejarah KOPENA terukir dengan tinta bertuah apabila Mesyuarat Agung Permulaan dapat dijayakan di Jom Training Centre, Puchong Perdana, Selangor. Marilah kita bersatu hati, berganding kekuatan serta berteguh modal insan dan modal kewangan untuk memacu sebuah koperasi yang berdaya maju, tumbuh membesar daripada jiwa pengkarya yang ingin berjaya.